Monday 29 November 2010

Kelas Fardhu Ain untuk Warga Muda MSC

Share
Kelas Fardhu Ain untuk anak-anak yang berumur 5 hingga 12 tahun telah bermula sejak 13 November 2010 yang lalu. Kali ini, kumpulan pelajar dibahagikan kepada dua, iaitu kumpulan pertama berumur 5 hingga 8 tahun dan kumpulan kedua 9 hingga 12 tahun. Tenaga pengajar terdiri daripada pelajar-pelajar pra-siswazah dan kelas -kelas diadakan di rumah pelajar-pelajar berkenaan, buat masa sekarang. Sambutan daripada warga MSC adalah sangat baik dan pihak pengurusan serta tenaga pengajar kelas fardhu ain ini sangat berharap agar komitmen yang tinggi dapat diberikan oleh para ibubapa untuk menghantar anak mereka pada setiap kali kelas diadakan. Ini adalah untuk memastikan anak-anak berkenaan tidak tertinggal dari aspek pembelajaran kerana pihak tenaga pengajar telah pun merangka silibus yang akan diajar pada setiap kelas. Kami dipihak AJK MSC mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada tenaga-tenaga pengajar atas komitmen dan kesudian meluangkan masa untuk memastikan kelas ini dapat diadakan seperti yang dirancangkan.

Majlis Sambutan Aidiladha MSC Liverpool 2010

Share
Pada 20 November 2010 yang lalu, bertempat di Kensington Sports Center, telah diadakan dengan jayanya Majlis Sambutan Aidiladha MSC Liverpool. Alhamdulillah, berkat kerjasama semua warga MSC majlis yang serba sederhana tapi meriah ini telah dihadiri sebilangan besar warga Malaysia Liverpool. Sebelum daripada bermulanya majlis, seramai 4 orang warga Malaysia di Liverpool telah menjalankan ibadah korban dengan bantuan penyempurnaan ibadah ini daripada MSC. Selain daripada itu, terdapat lagi beberapa orang yang turut melakukan ibadah berkenaan secara bersendirian (berhubungan terus dengan kedai yang menawarkan untuk melakukan ibadah korban untuk pelanggan). Pada hari Jumaat 19 November 2010, pembahagian daging korban telah diadakan di rumah Saudara Sani, sebelum daging-daging ini diserahkan kepada ketua-ketua kampung untuk dibahagikan kepada ahli kariah masing-masing.
Majlis pada hari Sabtu dimulakan dengan bacaan doa oleh Saudara Pazli dan seterusnya diikuti oleh ceramah oleh Ustaz Tarmizi dengan tajuk ceramah Peristiwa-peristiwa Penting di Bulan Zulhijjah:Iktibar dan Teladan. Majlis diteruskan dan disudahi dengan aktiviti yang ditungu-tunggu, iaitu jamuan dan makan-makan. Pihak AJK MSC Liverpool ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga MSC yang sudi meluangkan masa sebelum, semasa dan sesudah majlis untuk memastikan majlis ini dapat diadakan dengan sempurna. Semoga bantuan kalian dibalas dengan kebaikan di dunia dan juga di akhirat.























Sunday 14 November 2010

Aktiviti Usrah Telah Kembali!!!!

Share
Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Alhamdulillah, aktiviti usrah yang telah menjadi kelaziman masyarakat Islam Malaysia di Liverpool ini telah bermula kembali. Sesi pertama untuk kumpulan pelajar pasca-siswazah (PG)/ pemastautin muslimin telah dimulakan pada hari Jumaat yang lalu (12 November 2010). Pelajar-pelajar pra-siswazah (UG) muslimin juga difahamkan telah memulakan aktiviti usrah mereka. Menyusul adalah sesi usrah untuk muslimat (PG dan UG). Semoga aktiviti yang mulia ini mendapat rahmat daripada Allah dan terus mendapat sambutan daripada seluruh warga MSC Liverpool yang beragama Islam.